كومونيتي الصابرين

Panduan Mengira Zakat

Info Zakat

Zakat Pendapatan

Pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional. Walau bagaimanapun perolehan hasil harta yang tidak mempunyai struktur zakatnya tersendiri dan juga sumbangan daripada mana-mana pihak jua sekalipun adalah juga diserapkan dalam perbincangan ini. Kesemuanya ini dibincangkan sekaligus kerana persamaan asasnya yang menjadikan hukum bagi kesemuanya adalah sama.

Pengertian gaji ialah pendapatan pengajian seseorang yang merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi. Contoh:

* Gaji tahunan

* Tunggakan gaji

* Pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat)

* Lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.

Pendapatan bebas ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran daripada khidmatnya. Contoh:

* Khidmat guaman

* Khidmat nasihat

* Juru perunding

* Rawatan perubatan

*Kejuruteraan

* Seniman

* Lain-lain

::Dalil Wajib Zakat::

Firman Allah s.w.t:

"Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu."

Surah al-Baqarah (ayat 267)

Allah menjelaskan bahawa segala 'hasil usaha yang baik' itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam 'hasil usaha' yang wajib dizakat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)". Mereka bertanya, "Wahai Rasullullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?". Baginda menjawab, "Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah." Mereka bertanya, " Kalau tidak mempunyai pekerjaan?". Baginda bersabda, "Tolonglah mereka yang meminta pertolongan". Mereka bertanya lagi, "Bagaimana pula jika tidak berkuasa?". Baginda menjawab, "Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah".

SYARAT WAJIB ZAKAT

1. Islam.

2. Merdeka.

3. Sempurna Milik.

4. Hasil usaha yang baik sebagai sumber zakat.

Hasil usaha tersebut termasuklah pendapatan dan pengajian yang merangkumi upah, gaji, bonus, elaun, komisen, pemberian, ganjaran profesional, hasil sewaan, perkhidmatan dan sebagainya. Pendapat para fuqaha' menyebutkan semua hal berkenaan pendapatan dan penggajian disebut sebagai 'mal mustafad' iaitu perolehan baru yang termasuk dalam takrifan sumber harta yang dikenakan zakat.

5. Cukup nisab.

Nisab bagi zakat pendapatan adalah berasaskan kepada nilai 85 gram emas harga semasa, memandangkan pendapatan biasanya diterima dalam bentuk mata wang yang disandarkan kepada emas.

6. Cukup haul.

Jangka masa setahun adalah jarak untuk mempersatukan semua hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatannya. Dalam hal ini, apa yang lebih penting ialah seharusnya zakat pendapatan ini dilihat dari segi persoalan harta perolehan atau penghasilan dan bukannya harta wang simpanan ini bersesuaian dengan tuntutan dan roh Islam terhadap kewajipan berzakat.

KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT

Terdapat 3 garis panduan mengira zakat pendapatan

KAEDAH 1

2.5 % atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab)

CONTOH:

Jika jumlah kasar dari sumber setahun ialah sebanyak RM33,800.00, maka zakatnya sebanyak RM33,800.00 x 2.5 % = RM845.00

KAEDAH 2

Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenakan (berlandaskan kaedah penolakan yang dibenarkan

KAEDAH 3

Membayar zakat setelah mengambil kira tanggungan sebenar.

CONTOH PENGIRAAN ZAKAT MENGIKUT KAEDAH 2 DAN 3

A. Pendapatan Dari Semua Sumber (setahun)

RM

Gaji 24,000

Elaun 5,800

Bonus 4,000

Lain-lain 5,000

JUMLAH PENDAPATAN 38,800

B. Perbelanjaan Yang Dibenarkan (setahun)

RM

Diri 8,000

Isteri 3,000

Anak-anak (1,000 x 4 orang) 4,000

Pemberian IbuBapa 2,400

Caruman KWSP 2,400

Caruman Tabung Haji 600

Caruman kepada institusi / koperasi yang telah memberi zakat bagi pihak ahli. 1,200

JUMLAH TOLAKAN

21,600

C. Pendapatan Bersih Yang Layak Dizakat (A-B) RM

RM38,800 - RM 21,600

Nilai melebihi paras nizab, (contoh: nisab bagi tahun 2000 (April) = RM 2,993.85) 17,200

D. Zakat Yang Wajib Dibayar (C x 2.5%) RM

RM17,200.00 x 2.5% 430.00

NOTA:

1. Perbelanjaan bagi diri, isteri dan anak dalam jadual di atas adalah berdasarkan kaedah penolakkan yang dibenarkan (berdasarkan kaedah kedua).

2. Bagaimanapun perbelanjaan bagi diri, isteri dan anak boleh diambil kira tanggungan sebenar (berdasarkan kaedah ketiga) iaitu mengambil kira perbelanjaan asasi bagi makanan, pakaian, perubatan, pengankutan, pendidikan dan tempat tinggal.

3. Pemberian kepada ibu bapa, caruman KWSP, caruman Tabung Haji, caruman kepada institusi/koperasi yang telah membayar zakat bagi pihak ahli hendaklah berdasarkan kepada jumlah sebenar.

_____________________________________________________



0 comments: